Kita boleh dengar pelbagai audio yang dikatakan suara-suara sesetengah pemimpin termasuk suara Presiden yang bercakap ketika mesyuarat MT berlangsung.
Tidak lagi menjadi rahsia MT mengesahkan berlaku penentangan terbuka ahli-ahli Parlimen terhadap ketetapan dan keputusan yang telah dibuat awal oleh Presiden.
Juga didedahkan beberapa orang yang dikaitkan dengan usaha membina jajaran baru bersama PKR (Anwar).
Mesyuarat MT terakhir itu merupakan cubaan terakhir mereka yang sedang berkompromi dengan Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan yang ada hari ini.
Bukan lagi rahsia bahawa mesyuarat MT pada malam itu tidak diakhiri dengan undian sepertimana kebiasaan tetapi Presiden menggunakan justifikasi surat sokongan yang ada di tangan beliau hasil dari pertemuan 4 mata antara Presiden dan ahli-ahli MT dalam jangkamasa seminggu sebelum mesyuarat terakhir MT UMNO.
Jumlah sokongan yang dibaca oleh Presiden pada malam ini merupakan surat sokongan.
Jika berlaku undian pada malam itu sudah pasti Presiden akan kalah teruk dan akhirnya keputusan MT atau PAU sebelum ini akan terbatal dengan ketetapan baharu.
Kenapa mainan ini berlaku? Ini kerana Presiden mengetahui bahawa mesyuarat tersebut bakal menjadi pertembungan hangat berkaitan sama ada UMNO untuk terus kekal dalam kerajaan atau UMNO akan bersama Anwar membina jajaran baharu tanpa sedar.
Betul jajaran baharu itu tidak jelas kerana Presiden pernah menyatakan bahawa No PKR dan No Anwar. Namun, kita kena ingat bahawa pertemuan-pertemuan Presiden dan Anwar dan juga kuncu-kuncu Anwar bukannya tuduhan semata-mata.
Ianya nyata dan sahih dari sumber yang baharu sahaja mendedahkan rakaman audio perbualan Zahid dan Anwar dan telah diakui sendiri oleh Zahid.
Begitu juga gambar-gambar pertemuan Zahid dengan orang-orang kanan Anwar seperti Saifuddin Nasution dan Johari Abdul bukan lagi rahsia.
Cuba bayangkan tanpa kebijaksanaan ahli-ahli Parlimen UMNO dan beberapa ahli MT UMNO yang menentang agenda Presiden malam itu. Natijahnya, sudah pasti kita boleh melihat bahawa UMNO sekarang telah menjadi pembangkang. UMNO akan berada di sebelah blok pembangkang dalam Dewan Rakyat yang akan bersidang pada 26 Julai nanti.
Bukan itu sahaja, UMNO hari ini pastinya telah terpecah dua dan perpecahan ini bukannya perpecahan serpihan tetapi perpecahan yang bakal membawa UMNO kepada keruntuhan sebuah parti terbesar Melayu Islam.
Jika ini berlaku, kesan kepada survival Melayu bakal kembali bergolak. Hari ini DAP akan berada dalam kerajaan walau tidak dilantik sebagai menteri tetapi tiada jaminan mereka tidak akan berada dalam GLC kerajaan.
Penjualan aset-aset penting orang Melayu dan negara akan berulang. Warisan kembali menyokong kerajaan, Pejuang kembali menyokong Muhyiddin Yasin. AMANAH juga akan bersama tuannya (DAP) menyokong kerajaan.
Bezanya apa dengan kerajaan PH sebelum ini? Bezanya ialah Kerajaan PN yang diterajui PPBM akan bertambah sokongan PAS dan sebagian BEBAS yang tidak berparti seketika.
Kerajaan PN masih tidak tumbang dan Muhyiddin masih menjadi Perdana Menteri. Malah mereka sedang membentuk sebuah kerajaan yang mungkin majoriti lebih kukuh melebihi dua per tiga.
UMNO? UMNO akan menjadi pembangkang dengan beberapa ahli parlimen dan parti itu merupakan parti paling minoriti dalam pembangkang sekali pun.
Atau parti UMNO ketika itu bakal menjadi perebutan antara kumpulan yang berada dalam kerajaan dan kumpulan yang ada dalam pembangkang. Beberapa kerajaan negeri akan jatuh kepada gabungan lain.
Apa lagi yang bakal berlaku? Zahid dan beberapa pemimpin setia beliau akan ke “dalam” pada akhir bulan Julai dan Najib bakal meringkuk di Sungai Buluh pada akhir tahun 2021.
Apa yang akan jadi kepada UMNO ketika itu? Ketika itu UMNO mungkin telah tiada dan hanya menjadi sebahagian bahan sejarah. Generasi akan datang hanya mengetahuinya sebagai sebahagian bahan atau bab dalam buku pendidikan di sekolah.
Apakah ahli UMNO sedar akan halatuju yang cuba Zahid perjudikan ke atas UMNO? Apa guna dan kenapa beria-ia mahu “berjajaran” dengan Anwar yang terbukti telah ditolak rakyat terbanyak.
Apakah Zahid tidak menyetahui bahawa orang UMNO sendiri tidak akan menerima Anwar sebagai PM. Apakah untung untuk UMNO jika jajaran baharu ini masih meletakkan UMNO sebagai parti minoriti dalam kerajaan dan hanya diberi ihsan untuk jawatan TPM?
Apa bezanya TPM dalam kerajaan PN sekarang yang mana ianya jauh berkuasa dari TPM dalam kerajaan Anwar (Itu pun jika Anwar tak tipu dari segi angka).
Tapi yang pasti UMNO akan jadi pembangkang tanpa kebijaksanaan ahli-ahli Parlimen dan MT UMNO yang menentang keputusan Presiden.
Saya amat bersyukur kerana semua itu tidak berlaku dan UMNO masih menjadi sebuah parti yang mampu membawa perubahan kepada perjuangan rakyat, Melayu dan Islam.
Saya amat bersyukur bahawa agenda Anwar melalui Presiden dan nama-nama penyangak politik tidak dimakan mentah oleh ahli-ahli yang bijak berfikir.
Kepada ahli-ahi UMNO di bawah, nilailah dengan hati yang tenang dan bijak. Jangan mengikut membuta tuli tanpa kita mengkaji buruk dan baiknya kepada parti.
Menghormati institusi Presiden bukan dengan cara bersetuju tanpa kita mengkaji dan menilai kerana sudah pasti apa yang berlaku di atas tidak semuanya diketahui oleh kita di bawah.
Kena bijak dalam menilai untuk kebaikan parti kita. Kita pernah ditolak oleh rakyat dalam PRU14 lepas disebabkan kepimpinan kita tidak mendengar rintihan rakyat terbanyak.
Betul ada fitnah yang reka tetapi rakyat tidak melihat apa usaha kerajaan ketika itu untuk mereka. Mereka benci dengan kekayaan pemimpin. Mereka menyampah dengan broker di keliling pemimpin.
Pemimpin dipagar oleh orang-orang keliling dari mengetahui kebenaran. Pemimpin diletakkan di kasta tertinggi hingga mencipta ruang yang tidak boleh dicapai rakyat.
Jadikan pengalaman lepas untuk kita tidak mengulangi kesilapan kedua yang lebih parah. Jangan angkuh dengan sokongan yang berkemungkinan boleh berubah bila-bila masa.
Jumlah ahli UMNO tak mampu memenangkan calon dalam pilihan raya. Hanya rakyat yang akan menilai. Jika UMNO dilihat sebagai punca kepada ketidakstabilan politik negara maka UMNO akan dihukum dan dijatuhkan tanpa belas dan kasihan.

No comments:
Post a Comment